Tuesday, November 23, 2010

Puisi # Antara Dua Kasih

Deru ombak pecah berderai
Mengulang pantai datang dan pergi
Begitu kasih insan diibaratkan
Bagai ombak merubah pantai

Tika kasih melestarikan sayang
Semuanya indah dipandang mata
Pabila rasa benci terbit di hati
Rasa kasih dan sayang pun menyisih

Tanda kasih yang abadi
Dalam senang jua dalam kesempitan
Kasih Ilahi tiada bersempadan
Tak memilih siapa tidak berakhir
Kekal selamanya

Di antara dua kasih
Di maqamnya yang berbeza
Mudah dijumpa namun sukar untuk diperlihara
Lahir dari ketulusan jiwa bersuluhkan iman
Namun nafsu menodainya

Terkadang kasih kita sesama insan
Bisa mengundang keredhan Tuhan
jika insan menghargainya
Dan memuliakannya

Kasih sayang Allah kekal selamanya
Kasih manusia hanya sementara

Deru ombak pecah berderai
Mengulang pantai datang dan pergi
Begitu kasih insan diibaratkan
Bagai ombak merubah pantai 

Sunday, November 7, 2010

Cerpen - Ikhlaskan Cinta Mu ( Part 5 )

“ Agaknya kalau Yan jadi isteri saya, Yan masih hendak bekerja ke? “ Dave memulakan perbualan pada pertemuan kami petang itu.
“ Yan lebih suka duduk rumah, malaslah nak kerja bila dah kawin...nanti Yan boleh masak dan tunggu hubby balik makan tengahari..eeiii bahagianyakan macam tu ?”. jawapku tanpa berselindung.

Dave tersenyum teruja dengan bicara Yan. Kerana Dave memang suka pada perempuan yang ingin menjadi suri rumahtangga untuknya sepenuh masa. Dia seperti merasakan dia telah membuat pilihan yang tepat dengan memilih Yan.

“ Betul ke Yan nak buat macam tu?. Kalau betullah, sukanya saya. Saya nak sangat bila saya balik bekerja, pulang ke rumah dah ada yang menyambut saya di muka pintu, ada yang menghidang dan menyediakan makanan untuk saya. “

Aku hanya tertunduk malu mendengar jawapan Dave. Bahagianya aku saat itu. Walaupun aku tahu kebahagiaan ini hanya sementara. Bahagia yang hanya sebuah persinggahan rasa yang mampu buat aku tertawa di waktu ini. Rasa ini juga telah membuatku rasa bahagia dan cukup bahagia.

“ Saya janji Yan, kalau Yan sudi menjadi isteri saya, saya akan berubah menjadi seorang muslim yang akan mengikut semua tuntutan agama Yan. Yan kena ajar saya sembahyang, puasa dan semua yang orang Islam kena buat tau!”. 

Sejuk hati aku mendengar kata-kata Dave. Aku jadi terbuai dek janji indah yang aku sendiri tak pasti sejauh mana keikhlasannya. Namun masih juga ku percaya janji-janji manisnya itu. Pasti aku akan di tanya mengapa?. Dan jawapanya hanya satu. Kerna hati ini terlalu menyayanginya. 

Menyintai Dave membuat aku terfikir apakah aku mampu menghadapi kemungkinan untuk merasai kecewa?. Tabahkah aku untuk menghadapi itu semua?. Aku sendiri masih teraba-raba dalam agama yang aku anuti. Apakah aku mampu membimbingnya kelak?. Cukupkah ilmu yang aku ada untuk menyerapkan sinar islam di dadanya? . Ya Allah, hanya Engkau yang mampu menumpahkan hidayah ke dalam hati hamba-Mu itu Ya Allah. Tujukkanlah padanya jalan yang lurus.

Aku semakin pasrah dengan perjalanan hidup aku. Dave menyenangi diriku kerana katanya aku lain dari ramai wanita yang pernah dia kenali. Aku tidak gemar bersuka ria. Aku tidak suka bersosial seperti kebanyakkan wanita yang sebaya denganku. Dia senang dengan perangaiku yang tidak suka melawan. Aku manja dan suka bergurau. Dan sikap begitulah yang dia cari selama ini dari seorang wanita. Aku hanya mendengar sahaja apa yang di perkatakan Dave tentangku tatkala aku menanyakan padanya mengapa aku pilihannya?. Begitu sempurnakah aku di mata Dave?. Menurut Dave iya!. Tentu sekali aku terpengaruh dengan kata semanis gula itu. Terperangkap dengan cinta dua agama!.

*******

Hati orang bercinta memang indah berbunga-bunga. Terlupa pada luka yang sedang menanti. Leka pada sesuatu yang bakal terjadi. Seperti leka sang ular ingin mematuk mangsa, tetapi lupa yang dirinya juga sedang diperhati oleh sang helang perkasa. 

Aku terlupa yang Dave mempunya keluarga yang kuat pegangan agamanya. Sama seperti aku yang yakin dengan agama Islamku. Sedang leka menyulam kasih, sedang tekun mengayam sayang untuk membuat sepasang jubah cinta yang akan di sarung di badan di hari bahagia, aku di kejutkan dengan satu panggilan telefon. 
“ Hello Azian…boleh Auntie jemput Yan lunch nanti ?”
“ Boleh Auntie, ada apa Auntie nak jumpa Yan nie?” tanya ku bimbang.
“ Ada perkara sedikit yang hendak Auntie bualkan dengan Yan”.
“ Ok Auntie, Yan tunggu Auntie depan pintu office ya”
“ Ok Yan, jumpa nanti”

Sebaik sahaja talian ditamatkan aku merasakan ada sedikit kehairanan mengapa tiba-tiba Aunite Yong ingin menemui aku.
“ Apakah Auntie sudah tahu perhubungan aku dengan Dave?” detik hati ku. Ah! Risaunya aku!. Resah aku menanti pada masa yang di janjikan. Buat itu tak kena, buat ini tak menjadi. Oh! Hati sabarlah..tenanglah. Ucap aku berkali-kali pada diriku sendiri.

Tiba waktu yang dijanjikan, kereta Auntie berhenti betul-betul dihadapanku. Aku di bawa ke sebuah restoran makanan segera yang terletak tidak jauh dari tempat kerjaku. Aku dan Auntie mengambil meja yang agak jauh dari pelanggan-pelanggan lain.

“ Yan, Auntie nak tanyalah dengan Yan. Pasal Auntie tahu, Yan rapat dengan Alex dan Dave”. Auntie Yong memandang wajahku sewaktu memulakan perbualan. 
“ Auntie nak tanya Yan tentang apa Auntie? “ 
“ Begini Yan, Yan tau tak ? Dave dah banyak sangat berubah sekarang! “
“ Berubah? Berubah yang bagaimana Auntie?” 
'' Auntie pun tak tahulah Yan, entah kenapa dengan Dave sekarang ni. Selalu balik lewat , kurang bercakap, berkhayal saja. Yan tahu tak kenapa?. Ehmm mungkin dia ada beritahu Yan sesuatu. Auntie tanya nie sebab Davekan baik dgn Yan?. Lagipun Yan pun tahukan…Uncle Yong berharap sangat Dave cepat kahwin. Cari isteri yang berpelajaran supaya boleh tolong Uncle nanti... "

Terpana sebentar aku dengan tiap tutur kata yang keluar dari mulut Auntie Yong. Macam manalah hendak aku terangkan padanya atas sebab musabab perubahan Dave. Kerana penyebabnya adalah AKU!. Bagaimana hendak aku terangkan pada Auntie yang selama ini aku hormati, bahawa anaknya Dave menyintai aku dan aku sendiri menyintai anaknya itu?. Apa yang harus aku lakukan sekarang ini?. Oh Tuhan…berikan aku kekuatan. 

Aku tahu selama ini Dave tidak pernah memberitahu kedua orang tuanya mengenai hubungan kami. Semuanya kerana Dave tahu mama dan papanya pasti menentang. Pernah juga Dave cuba memberi gambaran tentang menukar agama pada ibunya. Namun riaksi yang diterima amat menakutkan Dave. Dave bilang, mamanya pernah berkata, jika sampai ada anaknya yang berniat hendak menukar agama, dia akan memastikan itu tidak akan berlaku dalam keluarganya. Dia tidak mahu anak-anaknya memalukan nenek monyang mereka kerana itu. Meninggalkan agama yang mereka anuti selama ini kerana agama lain. Malah mamanya juga pernah mengugut tidak akan mengaku anak jika anaknya masih berdegil.

Dalam keadaan masih kebingungan untuk memberi jawapan pada Auntie Yong aku di tegur sekali lagi oleh Auntie Yong.
“ Yan..Yan dengar tak apa yang Auntie cakapkan tadi?”.
“ Dengar Auntie, yan dengar. “ tergagap-gagap aku menjawap pertanyaan Auntie Yong.
“ Agaknya Dave ada masalah kerja tak Auntie?. Sepanjang Yan kenal dia, dia okey aja Auntie. Pernah juga dia cakap kat Yan, dia tertekan pasal Auntie sama Uncle asyik tanya pasal bila dia nak kahwin.” jawapku menutup resah.
“ Dia cakap dengan Yan, dia nak bantu Uncle sama Auntie dahulu. Nanti bila syarikat dah stabil , dapat untung banyak baru dia nak fikir pasal kawin.” tambahku lagi.
“ Tapi Yan, Dave tu dah tiga puluh dua tahun tau!, dia sudah patut kahwin. Dia ada beritahu Yan tak pasal girlfriend?” Auntie Yong mengorek rahsia.
“ Eiii Auntie nie…tak kanlah Dave nak cerita pasal girlfriend dia pada Yan!” jawap ku beriring dengan gelak kecil.
“ Iya lah Yan, diakan selalu keluar lunch sama Yan. Sana-sini dengan Yan mesti dia dah anggap Yan kawan baik dia, so tak impossible dia will share some personal things with u Yan.” pancing Auntie Yong lagi.
“ Tak adalah Auntie..tak ada. Nanti Yan cuba tanya Dave ya pasal girlfriend dia ya. Jadi spy Auntie”, jawapku sambil tersenyum nipis. Dalam senyuman itu sebenarnya tercalit seribu kepahitan.

Selesai makan bersama, Auntie Yong beredar untuk kembali semula ke pejabatnya. Aku juga di hantar semula ke pejabat ku. Dalam lift, kotak fikiranku menerawang mengingat semula tiap perbualan aku dan Auntie Yong.

Aduh! Macam manalah aku nie?. Pening! Bingung!. Nak tanya Dave siapa girlfriend dia sedangkan girlfriend Dave itu adalah aku!. Nak jadi spy Auntie pun aku!. Yang berjanji untuk membantu Auntie juga aku!. Haii…Kalaulah aku boleh hilangkan diri aku sekejap dari dunia ini dan pergi ke dunia lain kan bagus. Boleh jugaklah aku berfikir dengan tenang, mencari jawapan yang logik untuk aku berikan pada Auntie Yong. 

Di sini, di kerusi mengadap komputer di pejabat, aku termenung sebentar. Untuk melegakan perasaan, sambil menyanyi-nyanyi kecil lagu Permaidani nyanyian Aris Ariwatan. Liriknya benar-benar menyentuh hati aku. Malah disaat kesedihan dan bercelaru macam inilah aku baru terasa hanya pada-Nya tempat aku merebahkan rasa gundah yang melanda hati. Ya Allah…. Macam dalam lirik lagu itulah…

Bentangkan ku permaidani 
Dari baldu berwarna putih
Moga tak ku terasakan
Cubaan yang ku galas ini
 

Butiran jernih yang mengalir ku seka perlahan- lahan. Aku tak mahu melayan kesedihan ini berlarut-larutan. Risau juga aku kalau-kalau kesedihan aku dapat dikesan oleh rakan-rakan sepejabat.

Petang itu aku pulang ke rumah dengan perasaan yang bercampur-baur. Apa yang hendak aku terangkan pada Auntie Yong?. Dia terlalu baik untuk aku khianati. Dia amat berharap sangat aku dapat memujuk Dave supaya mula memikirkan untuk membina sebuah keluarga. Sedangkan pada saat yang sama ….ahhhhhgggghhhhhhhhhhh…tensionnya!. Tuala ku capai. Di kamar mandi aku kembali termangu-mangu..sambil menyabun badan, fikiran ku ke sana ke mari !. Susahnya hidup begini. 

“ Assalamualaikumwarahmatullah…” ku paling ke kanan. “Assalamualaikumwarahmatullah.. “ ku paling ke kiri. 
Selesailah sudah tanggungjawabku sebagai seorang muslimat di maghrib itu. Setelah membaca Al-Quran sebagaimana biasa. Aku duduk di sejadah..memandang tapi kosong. Melihat tapi buta. Menjerit tanpa suara. Menangis tiada airmata!. Hati aku resah, jiwa gelisah, rasa nan parah. Aku jadi tak tentu arah. Allahu Akhbar. Mengapa aku jadi begini ?.

CINTA- satu perasaan yang sukar dimengertikan. Ianya hadir tanpa di undang. Mengalir meresap ke seluruh tubuh. Darah yang disaluti rasa cinta terasa hangat sentiasa di dalam hati sanubari. Bahagia sahaja akan rasanya. Manis sahaja akan senyumannya. Bila cinta ada dalam jiwa. Alam semua tampak berwarna. Hijau kuning merah biru..semua indah di mata. Bila bersama...lapar terasa kenyang...panas terasa sejuk...bising terasa hening. emmm.....hati berdetik senyum terukir tanpa bicara lahir si peti...namun bahasa bisu tetap jua difahami. Indahnya bercinta. Tetapi kini, semua itu bakal hilang jika rahsia cinta telah terbongkar. Pasti hati berderai berkecai. Pasti nanti senyumanku tawar dan pasti nanti aku kan sunyi. Mampukah semua itu aku hadapi?. Sukarnya bercinta!.

*******


Cerpen - Ikhlaskan Cinta Mu ( Part 4 )

Sejak kejadian tengahari itu, aku dan Dave semakin rapat. Antara sedar atau tidak di hati sudah mulai terasa sesuatu. Telah menyelinap satu perasaan aneh di kamar hati. Kerap juga Dave menefonku di pejabat. Mulanya hanya bertanya khabar. bertanya sudah makan tengahari atau belum. Boleh keluar makan bersama atau tidak. Sibuk atau bosan. Aku sendiri kurang pasti mengapa Dave begitu mengambil berat tentang diriku. Mungkin juga dia sendiri tiada teman berbual. Mungkin juga aku hanya seorang kawan yang di rasa serasi untuk mengurangkan stres. Entahlah…aku sendiri tidak pernah pasti dengan diri aku..aku sendiri keliru dengan perubahan yang berlaku dalam waktu yang terdekat ini. Malah sekarang ini aku sering keluar makan bersama. Antara aku dan dia begitu mesra. Tetapi aku merasakan ada kelainan dalam kemesraan yang tercipta. Tidak seperti kemesraan aku dan Alex. Apakah kerana kini aku bukan bergelar pelajar maka corak perasaan juga perlu berubah alun berubah rentak?. Irama hati sering berlagu tenang sewaktu dengannya. Bila berjauhan irama hati mulai resah. Seperti ada kehilangan sesuatu yang di sayang. Terjenguk-jenguk keluar tingkap mana tahu dia lalu. Terpandang-pandang di skrin handphone, mana tahu kalau-kalau ada mesej. Tertungu-tunggu, mana tahu telefon berdering. Emm ..dia tiada, sms pun tiada, call pun tiada!. Eeiii bosannya!. Sunyinya tanpa dia!. 

Mungkin hanya aku yang rasa begitu. Dia? . Entahlah aku sendiri tidak tahu. Dia ku lihat biasa sahaja. Tiada beza pada sikapnya. Masih berbual seperti biasa. Tiada nada manja, tiada nada rindu dalam bicara. Persis tiada apa. Bualnya tawar, guraunya bukan gurauan kekasih. Bersahaja tanpa peduli apakah aku boleh menerima atau tidak gurau itu. Iya, dia hanya melayan ku seperti kawan biasa. Cuma aku..iya Cuma aku yang menjeruk rasa. Tetapi sebagai seorang perempuan melayu, aku tidak pernah menyuarakan apa yang terdetik jauh di sudut hati aku padanya. Lebih-lebih lagi dia bukan Islam. Bukan mudah untuk melayari sebuah kehidupan bersama nanti. Tak mungkin begitu mudah untuk terbit rasa rindu. Tak mungkin juga hati begitu mudah menyulam sayang. Tidak mungkin juga hanya keran selalu menemani makan, hati sudah mengarang kasih. Aku hanya punya sekeping hati yang belum terisi . Mungkin bila ada sedikit keakraban maka hati mudah terusik bila di jentik. Ada rasa ingin manja. Ada jiwa ingin dibelai.

Sepanjang hari tanpa dia terasa kosong. Untuk memulakan sms mahu pun telefon aku malu. Biarlah aku melayan hati sendiri. Biar kulayan sepinya hati. Malam ini, seperti malam-malam sebelumnya aku akan berdiri di sini mendongak ke langit memerhati telatah awan, senyum melihat keletah bintang. Aku? Aku adalah sang bulan yang sedang bersendirian itu. Merenung ke bumi menunggu si pungguk yang kononya sering merinduiku. Apakah di pungguk yang dimaksudkan itu sedang mengintai bulan?. Emm…entahlah.

Ada seulas bibir sedang tersenyum melihat akan diriku…siapa?. Siapa lagi jika bukan diri ku sendiri. Sayup-sayup kedengaran azan Isyak. Jauh benar perginya lamunan menerawang. Jauh benar dirimmelayan perasaan. Ku hampar sejadah pemberian emak. Takbir ku angkat solat ku dirikan. Kini semua yang ada dalam diriku adalah milik pencipta. Allah swt. Sesungguhnya hidupku, matiku hanya untuk-MU. 

Selesai solat aku mencapai Al-Quran. Sampai di ayat 19 Surah Al Imran “ Sesungguhnya cara hidup ( agama ) yang diperakui Allah SWT adalah Islam “.
Aku mengangguk-angguk dan mengerti, bahawa hanya ISLAM lah agama yang di terima Allah. Aku berdoa semoga Allah memberikan aku ketetapan dalam iman pada hatiku. Biarlah nanti matiku dengan Islam sebagai pegangan. Aku amat bersyukur kerana di lahirkan dengan Islam sebagai agamaku.

*******

“ Hello ...boleh cakap dgn saya punya sayang?” terdengar suara itu di hujung talian.
“ Hello...salah nombor ke??”, jawapku sambil ketawa.
“ Siapa ye awak punya sayang?, ku tambah lagi pertanyaan pada yang menelefon ku.
“ Azian Abu Bakarlah “ lancar sahaja jawapan dia.
“ Tak boleh ke saya panggil awak sayang?” , tanya si pemanggil itu lagi.

Kenapa berani benar dia petang ini memanggil ku sayang?. Tidakkah dia tahu aku mengeletar gementar bila kalimah ‘sayang’ itu diucapkan?. Mudah benarkah perkataan itu boleh digunakan untuk semua orang?. 

“ Yan marah ya?. Kalau marah cakaplah marah. Yan buat saya takut !” kedengaran suaranya berbaur kebimbangan bila aku senyap seketika. Mana tidaknya aku senyap begitu. Aku terkedu, terkejut bila dia memanggil aku dengan perkataan keramat itu!.

“ Tak..tak..Yan tak marah. Cuma terkejut aja !” balasku terus terang. Awak jangan bermain dengan perasaan. Bahaya awak. Tambahku lagi.
“ Saya tidak main-main Yan. Saya yakin dengan hati saya. Saya sayang awak. Saya harap awak boleh terima saya ya “. 
“ Yan takut kecewa. Kita tak sama agama” jawap ku tergagap-gagap.
“ Itu halangan yang perlu kita hadapai Yan “

Payah benar untuk aku menerima apa yang ku dengar tadi. Ku cubit pipi ku berkali-kali apakah aku bermimpi di siang hari?. Dia seperti melihat wajah ku yang berkerut-kerut. 
“ saya faham kalau Yan tak dapat terima cinta saya. Mungkin apa yang telah saya perkatakan terlalu awal bagi Yan. Tapi Yan kena tahu yang saya benar-benar sayang dan cintaan Yan”
“ Apakah sikap berdiam diri awak selama ini, sebenarnya awak ingin mencari jawapan tentang perasaan awak pada saya?’ sebuah pertanyaan lahir dariku dan pertanyaan itu memerlukan jawapan.
“ Iya Yan. Dan jawapannya telah pun awak dengar sebentar tadi” Dave menjawab jujur.
“ Agama kita?”
“ Saya akan minta restu mama dan papa jika saya dan awak dah sama-sama yakin dengan jalan yang kita pilih. Awak sanggup tunggu saat tu? “
“ Sanggup “. Aku sendiri tak menyangka mengapa secepat itu aku menyatakan kesanggupan!.

Akhirnya aku dan Dave bersetuju untuk menjadikan hubungan ini menjadi hubungan yang cukup serius walau kami tahu kami bakal menghadapi tentangan keluarga. Nekadnya aku.


*******

Friday, November 5, 2010

Cerpen: Ikhlaskan Cinta Mu ( Part 3 )

Sejak Dave pulang dari Australia dan kembali tinggal bersama orang tuanya. Dia dah mula mengurus syarikat kepunyaan ayahnya. Alex masih bekerja di Singapura. Namun walau dia jauh di perantauan, Alex tidak pernah melupakan aku kawan baiknya. Setiap kali dia balik ke sini pasti aku dan Alex akan bertemu.

Pejabat tempat aku bekerja tidak jauh dengan syarikat milik ayah Alex. Selalu jugalah aku terserempak dengan Dave waktu makan tengahari. Tetapi aku sedar, kewujudan aku tidak pernah dipedulikan olehnya. Aku juga sudah tak kuasa hendak merasa kecil hati. Padaku, mengenali keluarga Alex satu keberuntungan padaku. Mereka semua baik. Menghormati aku dan keluargaku juga.

“ Hi…awak Azian kawan Alex kan?” sapanya satu hari.
“ Iya, Azian…panggil sahaja Yan”, balasku.
“ Boleh makan sama?. Saya nampak awak sorang aja”
“ Saya bukan nak makan kat sini, nak bungkus saja. Makan kat office aja nanti”, balasku.
“ Hari nie tak payahlah bungkus, kita makan sama. Boleh bual-bual. Saya pun seorang. Tidak sudi temankan?” pintanya lembut.

Mengenangkan dia abang kawan baikku, aku bersetuju untuk menemaninya makan, tengahari ini. Aku mengambil tempat duduk di tepi dinding berdekatan dengan tempat cuci tangan. Sebab aku lebih suka makan menggunakan tangan dari menggunakan sudu dan garfu. Sunnah nabi jika makan menggunakan tangan.

“ Kak Jah, nasi Yan tadi tak payah bungkuslah, Yan makan kat sini sajalah “ beritahu ku pada Kak Jah. Kak Jah tuan punya warung tempat aku selalu membeli makanan. “ Ada pakwe nak belanja nie!” tambahku lagi sambil tersenyum memandang Dave.
“ Saya ada cakap saya hendak belanja awak ke?” jawapnya sambil membalas senyuman yang ku hulur.
“ Ada kot tadi , saya dengar macam tu lah”, usik ku lagi.
“ Kenapa tak cakap dari semalam lagi saya nak belanja Yan makan kat sini?” selamba aja dia membalas kata-kataku.

Malu jugak aku bila dia jawab sebegitu. Mana tidaknya, baru hari ini dia menyapa aku, aku dah berani-berani berseloroh seperti sudah lama kenal.

“ Sudahlah ya Yan, hari ini memang saya belanja awak, saja usik awak tadi.”
“ Eh! Tak payahlah Dave, Yan begurau aja. Dalam hati..Eeiii malunya aku!”

Aku sebenarnya jika bersama Alex memang mesra, maklum kawan sekelas. Dan tanpa aku sedari sifat mesraku itu ku tunjukkan juga pada Dave. Emm…Malu juga bila aku ingat-ingat semula apa yang dah aku lakukan pada lelaki yang baru sahaja sudi menegurku setelah sekian lama. Aku hanya tertunduk malu bila mengenangkan itu.

“ Selalu ke makan di sini?”
“ Hari-hari. Kat warung Kak Jah nie murah sikit. Lagipun selera saya kena dengan masakkan Kak Jah “ jawapku panjang.
“ Selalu Dave makan kat mana?, jarang nampak? “ tanyaku sambil mencubit ikan keli masak sambal di pingganku.
“ Dekat-dekat sini juga Yan. Itu yang saya perasan awak tu. Baru hari ini saya ada kesempatan menegur. Selalu saya keluar dengan kawan. Hari ini kawan saya cuti sakit. Kenalah makan seorang “.
“ Ooooooo “ 
“ Ooooo aja? Mana huruf P, Q, R, S, T, U, V, W, X, Y, Z ? Semua awak dah telan ke ?
“ Ha! Ha! Ha!...ada ke cakap macam tu!” kuat ketawa aku masa itu !
“ Laa…lawak jugak awak nie ya Dave. Ingat tak pandai bergurau” jengkil ku pada telatah Dave sebentar tadi.
“ Oooo selama ini awak ingat saya ni kayu ke?” perli Dave sambil senyum.
“ Taklah macam tu” jawapku tersipu malu.

Terasa cepat pula waktu makan aku kali ini. Berbual dengannya begitu mengembirakan. Ada sahaja perkara yang di bualkan mengundang tawa. Dave seorang yang suka berjenaka. Selama ini tanggapan aku semuanya salah. Benarlah kata pujangga, jangan menilai seseorang hanya melihat luaran sahaja. Jangan menilai sesebuah buku itu hanya dari memandang kulitnya sahaja.

Cerpen: Ikhlaskan Cinta Mu ( Part 2 )

Setelah menunggu selama empat bulan,keputusan peperiksaan STPM pun diumumkan. Aku dan Norlin segera ke sekolah untuk mengambil keputusan. Akhirnya,aku, Azian Abu Bakar,menerima keputusan STPM dengan linangan airmata. Bukan airmata kegembiraan tetapi sebaliknya. Uh! Teruknya! Itulah..masa sibuk belajar sibuk berkhayal. Berangan dengan orang yang tidak pernah kenal padaku. Sekarang ini, dengan keputusan yang kurang memuaskan, di tambah lagi dengan sikap malas hendak sambung belajar , aku mengambil keputusan mencari kerja. Alex meneruskan pelajaran hingga ke peringkat diploma dalam bidang grafik computer dan kini bekerja di Singapura. Norlin pula menyambung pelajaran ke UITM di dalam bidang ‘Art and Design.

Setelah penat turun naik pelbagai pejabat menghadiri temuduga. Aku mendapat tawaran bekerja di salah sebuah pejabat di ibu kota. Berbekalkan dengan keputusan STPM aku yang tidak seberapa, aku cukup bersyukur. “Nasib baik dapat kerja, ehmm.. kerani pun jadilah daripada tanam anggur! “. Kataku didalam hati. Aku sebenarnya bukannya bodoh sangat, tetapi tuntutan keluarga memerlukan aku melupakan niat untuk melanjutkan pelajaran sebaliknya bekerja untuk membantu keluarga. Aku tidak pernah menyesali jalan yang aku pilih. Malah aku bahagia dengan kehidupan aku sekarang.


Di sebuah syarikat yang besar sepatutnya aku mempunyai ramai kawan. Tetapi aku sebaliknya, aku tidak punya ramai kawan. Mungkin dengan sikapku yang tidak pandai bersosial juga tidak pandai bergaya. Malah aku lebih senang bersendirian. Namun begitu ada juga lelaki yang pernah mendampingiku. Tetapi sampai sekarang pun tiada yang boleh ku panggil teman istimewa. Mungkin bosan agaknya berkawan denganku. Hendak ke sana takut, diajak berkelah tak mahu, diajak disko tak hendak. Ada yang menyatakan aku kolot. Padaku harga diri seorang gadis itu lebih penting dan berharga. Emm..biarlah, aku tidak pernah peduli dengan semua itu. Padaku ajal maut, jodoh pertemuan di tangan Tuhan.Ada jodoh adalah. Cinta tak perlu di cari tetapi ianya akan datang sendiri bila kita berjumpa secara tidak sengaja. Aku yakin tentang itu.

Sedang leka menyiapkan laporan yang dikehendaki oleh ketuaku, handphoneku berbunyi. Ku angkat dan tersenyum memandang nama yang tertera di skrin handphone,Alex.

“ Hello apekk......apa khabar?, lama kau tak call ”, sambut ku dengan ketawa halus dihujung bicara.
” Huh...aku ni banyak punya hensem kau panggil apek?' dalam jawapan itu ada suara rajuk bercampur bengang.
” Alahh kau nie Alex, Aku gurau aja , takkan merajuk kot? “ pujukku manja.
” Macam mana?, jadi tak kau datang rumah aku esok ?”, tanya Alex.
” Hmm..aku seganlah. Sejak kau belajar di Singapura , selama itulah aku tidak pergi ke rumah kau tu. Mesti kat rumah kau ramai tetamukan. Kalau auntie dengan uncle aja aku tak kisah”, ujar Azian mengutara helah.

Sebenarnya aku memang segan dengan keluarga Alex sejak tamat persekolahan. Maklum sahajalah, kerja pun kerani saja. Rasa tidak setaraf pulak.

”Nak segan apanya? Bukan kau tak biasa dengan mama dengan papa aku. Mengada-ngadalah pulak kau ni Yan...lagipun, biasalah Tahun Baru Cina, memang ramai yang datang. Mama dan papa kan orang bisnes. Klien diorang kan ramai. Dan lagi, kau boleh jumpa dengan abang aku, Dave..dia baru balik dari Australia. Dekat setahun jugak dia kerja kat sana,kumpul pengalaman. Sebab lepas ini, dia kan kena bantu perniagaan papa aku” , panjang lebar pula bicara apek ni.
” Kau kata nak sangat kenal dengan abang aku dulu”
” Aku pun teringin nak jumpa dengan abang kau yang handsome tu,” selorohku.
” Dah..dah...kau tu. jangan nak perasan..lepas ini aku dah nak balik ke Singapore semula..aku dah dapat kerja kat sana...jadi bila balik ke sini aku naklah jumpa kau lagi...pleasee..” kata-kata Alex bagai merayu di hujung gagang.
” Ehmmmm...ok lahhh...tapi pastikan makanan halal ada tau..., nanti aku nak makan apa pulak ! mau kebuluran aku nanti. Tengok muka kau bukan boleh buat aku kenyang pun ” usikku lagi pada Alex dan sememangnya aku berkata benar juga.
” Iyerlah...macamlah aku tak tahu pulak...”. Mama dah minta jiran belakang rumah masakkan nasi minyak . Kau boleh makan sebanyak mana yang kau nak. Lagipun klien papa pun ramai yang muslim. “ ujar Alex.
“ Kau datang tau, aku tunggu “
“ Iya aku datang nanti”.

Talian diputuskan. Aku bagai tidak percaya dengan panggilan Alex sebentar tadi. Sehinggakan aku terlupa hendak bertanya kepada Alex apakah dia ada menjemput Norlin juga. Mungkin dia sudah menjemput Norlin tadi sebelum menalipon aku. Aku Cuma mengagak untuk menyedapkan hati. Insya-Allah, sebagai kawan baik aku akan menerima pelawaan Alex. Bibirku menguntum senyuman. Senyuman penuh makna.


*******

”Gong Xi Fa Cai …Uncle ...Auntie...' sapaku sebaik sahaja sampai di muka pintu.
” Oh, Azian rupanya. Terima kasih, terima kasih..sudi juga Yan datang. Masuklah, jangan segan-segan...” ujar Uncle Yong ramah.

Masuk sahaja aku ke dalam rumah,” Wah..cantiknya !” sudah banyak perubahan dalam tatacara susun atur rumah Alex sekarang. Terpegun Azian dengan perubahan yang hanya baru setahun lebih. Kerusi pun dah bertukar. Betul-betl nak raya Uncle dan Auntie. Di hujung ruang tamu, siap ada mini bar lagi. Sedang asyik memerhati hiasan rumah uncle Yong tiba-tiba mataku terpandang pada sesusuk tubuh sedang duduk di situ. Aku melemparkan senyum. Si pemuda hanya merenung sahaja tanpa membalas senyumanku kemudian berpaling.

” Sombongnya!!Elehhh...macam bagus sangat! "Rupanya ada iras-iras Alex, mungkin ini abang dia kot..tidaklah handsome mana ..tapi handsomelah jugak..mata sedikit sepet , berkaca mata hmm… manis pun ada!. Aku membuat komentar tanpa dipinta oleh sesiapa pun. Iskhh apa kena dengan kau ni Azian.” Terdengar suara mengejek dari dalam hatiku sendiri.

” Mana lah pulak apek sorang ni...dia yang beriya-iya suruh aku datang..ni batang hidung pun tak nampak...” mulutku mengomel-omel sambil mata mencari-cari Alex. Norlin pun tak ada!. Leceh betullah apek sorang nie”
” Hi...nona manis..apa khabar?, lama ya kau tunggu ?. Mari aku kenalkan kau dengan abang aku..” sapa Alex sambil menepuk bahu ku.
“ Apalah kau nie Alex, terkejut tau!”, jawabku dengan nada terkejut. “ Lain kali berilah salam dulu”. Kataku sambil menjeling .
“ Kau ni Azian, tak habis-habis suka mengelamun. Aku sergah sikit aja dah terkejut. Marilah, aku kenalkan kau dengan Dave.” Alek mengulang kata-katanya lagi utnuk memperkenalkan aku dengan abangnya. Alex membawa ku ke susuk tubuh lelaki di mini bar tadi. Aku hanya mengekori dari belakang tanpa bersuara apa-apa.

“ Dave , kenalkan, my lovely classmate Azian...Azian ni lah abang aku Dave.” Alex memperkenalkan lelaki yang tadi ku lihat di mini bar sebagai abangnya.
“ Abang aku nie baru balik dari Australia sebab nak sambut Tahun Baru Cina bersama-sama keluarga.” Jelas Alex tanpa aku minta.

Benarlah tekaanku, lelaki yang kelihatan agak sombong itulah abang Alex. Berbeza benar perangai mereka berdua. Aku melemparkan sebuah senyuman perkenalan pada lelaki yang diperkenalkan sebagai Dave, namun Dave hanya mengangguk kepala sahaja tanpa bersuara apa-apa.


“ Mamat ni memang sengal tau!! Bisu agaknya!!...gerutuku dalam hati.
“ Emmm memang sombong!.Senyum pun tak ingin di balasnya. “ bisik hatiku lagi. Aku hanya dipandang dengan ekor mata. Persis lagak si awan yang sering ku perhati saban malam. Yang hanya mengerling dan berlalu pergi waktu pipinya di jamah ciuman si bintang kecil. Sombong!. Berlagak betul!. Geram benar aku saat itu. Marah betul aku di buat begitu. Malu pun ada. Tapi memandangkan Alex kawan baik aku, aku masih dapat bertahan.

Setelah di perkenalkan oleh Alex, Dave berlalu macam tu sahaja. Aku memandang dengan hati yang dengkal. Menyampah ada, meluat pun ada. Setelah kelibat lelaki itu hilang, terfikir juga di hati aku. Siapalah aku yang hendak disapa mesra oleh Dave. Di Australia ramai gadis-gadis yang cantik berbanding diriku. Lagipun apa hak aku yang ingin memberontak yang aku mesti dilayan sebaik mungkin di rumah ini?. Akhirnya sebuah senyuman pahit aku hadiahkan untuk diriku sendiri.

“ Lama ke kau cuti Alex?”
“ Tak lama Yan. Lusa aku balik semulalah ke Singapore. Kerja kau macam mana?”
“ Kerja kerani aja Alex, cukup-cukup makan. Kadang-kadang banyak kerja, kadang-kadang tu sampai aku naik boring tak buat apa “, jawap ku mesra.
“ Kau pulak macam mana kat sana?, mesti dah ada ehm ehm” aku mengorek rahsia.
“ Orang handsome macam aku nie yan, mestilah ada!” jawap Alex dengan ketawa besar. Aku faham sangat dengan perangai Alex yang suka berseloroh.
“ Berilah aku tengok gambar dia” pintaku.

Alex membuka dompetnya dah memberi aku melihat gambar wanita yang berjaya mencuri hati Alex.
“ Cantik! “
“ Mestilah Yan!, Geraldine namanya” jawap Alex bangga.
“ Kau dah ada sesiapa ke Yan?. Tunjuklah kat aku jugak…” minta Alex dengan nada meminta.
“ AKU? Aku mana ada Alex. Aku bukannya cantik. Pakwe pun takut nak mengurat aku nie.” Jawabku lesu. Bukan tiada yang cuba menumpang menenggek di kamar hati ku ini. Namun aku sendiri tidak pernah tahu apa mahunya aku. Bukanlah memilih tetapi entahlah.
“ Nanti kalau aku dah jumpa mr. right aku, aku cakaplah kat kau”
“ Betul?”
“ Betullah..buat apa nak tipu kau”
“ Okeylah Alex, dah lama nie aku kat rumah kau. Nanti kalau kau nak balik Singapore tu kau call aku dulu ya”.
“ Okey Yan. Terima kasih ya sudi jugak kau datang rumah aku. Nanti kalau kau jumpa Norlin kau cakap dia aku kirim salam ya. Sorrylah pasal abang aku tu. Dia memang macam tu kalau dengan perempuan yang dia tak kenal”.
“ Oohhh ok..no big deal “ kataku sambil tersenyum.


Petang itu aku pulang dengan hati sedikit berbuku. Hairan juga aku, kenapalah perangai Alex dengan abangnya jauh berbeza?. Alex ramah tetapi abangnya sombong sahaja. Senyum pun payah. Bukan dengan aku sahaja, aku lihat dengan orang lain begitu juga. Mungkin sebagai anak sulung dalam sebuah keluarga cina memang begitu agaknya. Semua tanggungjawab akan dipikul jika sesuatu berlaku pada orang tua mereka.

Wednesday, November 3, 2010

Cerpen : Ikhlaskan Hatimu ( Part 1 )

Terpisat-pisat kelopak senja dikejutkan dek sapaan tirai malam. Lembut dirasakan sentuhannya. Senja tersenyum manis, memahami maksud tirai malam menyapanya tadi. Dengan perlahan, senja mengensot-ngensot pergi meninggalkan siang yang ditemaninya tadi. Bulan yang datang menemani malam bersama simbahan sinar cahaya cukup mempersona. Sesekali bulan di usik sang bintang kecil yang galak mengenyit mata. Bulan hanya tersenyum manis. Sang bintang kecil sempat juga mengerling, melihat kepulan awan yang perlahan-lahan mendatangi bulan nan indah. Lantas, bintang nan nakal sempat juga mencuri jamah ke pipi awan. Jamahan tanpa rela di tenung tajam oleh si awan. Sang bintang kecil nakal tersipu malu, lantaran ciuman kasihnya di tepis penuh hemah.

Mata ini memandang semua jenaka dan tingkah cekrawala dengan penuh asyik. Awan menghampiri bulan bagai berbisik , konon dirinya sering di usik. Di usik manja si bintang kecil penuh keletah. Angin, cemburu pada kemesraan bulan dan awan, lantas dengan angkuh menghalau awan dari si bulan. Bulan merajuk, lalu bersembunyi di balik awan. Kelam sebentar alam tanpa limpahan sinar cahaya bulan purnama.

Indahnya permentasan alam ciptaan tuhan. Segalanya hidup teratur tanpa secarik prasangka. Hanya sebentar rajuk tercipta, mereka kembali bergurau lagi tanpa curiga. Kalaulah mereka bisa berbicara, pasti terdengar hilai dan tawa. Hati ini, berbunga bahagia melihat tingkah mereka. Alangkan indahnya suasana.

Perlahan-lahan kelopak hati mengusap kembali nostalgia semalam. Ku pejamkan mata buat seketika. Cuba mencari ketenangan yang di ragut masa.


*****

Tanpa semena-mena aku teringatkan Alex. Iya, Alex Yong...kawan sekelasku di tingkatan enam. Seorang yang cukup tampan, berbangsa cina. Dia seorang yang cukup peramah. Tidak memilih kawan. Pendek kata, dengan semua orang dia berkawan. Alex tersenarai antara lelaki-lelaki idaman tiap wanita di sekolah. Aku dan dia memang cukup rapat. Di mana ada aku, adalah dia. Ke perpustakaan, bersukan, kelab uniform segala-galanya kami lakukan bersama. Bak kata rakan-rakan sekelas aku dengan Alex macam belangkas!. Ke hulu ke hilir bersama. Serasi. Mungkin sebab kami banyak persamaan minat aku dan Alex menjadi kawan yang cukup rapat. Keakraban yang sering disalah tafsir . Sedangkan hubungan kami lebih kepada istilah “ TEMAN TAPI MESRA “. Agama pun dah berbeza, masakan ingin bercinta. Lagipun aku masih belajar. 


Masih tebal dalam ingatan ku, sewaktu peperiksaan STPM semakin hampir. Aku, dan Alex semakin kerap melakukan ‘group study’. Kadang-kadang kami belajar di rumah kawan Alex, Norlin. Kadang-kadang di rumah aku. Tetapi yang paling kerap di rumah Alex. Memandangkan keadaan rumah Alex yang agak selesa. Mama dan papa Alex pun selalu tiada di rumah kerana menguruskan syarikat mereka. 

Kerana kekerapan itulah, aku semakin rapat dengan keluarga Alex. Mama dan papa Alex ku panggil ‘Auntie’ dan ‘Uncle’. Auntie dan uncle tidak pernah melarang kami menggunakan rumahnya sebagai lokasi pembelajaran. Mak dan ayah aku pun begitu juga. Mereka tidak keberatan memandangkan aku di temani Norlin, salah seorang kawan baik Alex. Berlainan kelas. Mak pun kenal sangat dengan Norlin. Belajar di rumah kawan-kawan bukanlah bermakna aku mengambil kesempatan untuk mengelak membuat kerja-kerja rumah.Tetapi niat ku cuma satu. Ingin belajar bersama-sama untuk menghadapi STPM. 

Masih aku ingat saat aku belajar di rumah Alex. Sering juga aku disergah oleh Alex maupun Norlin kerana sering kali hilang tumpuan. Selalu benar mata ini mencuri pandang ke potret keluarga Alex di ruang tamu. Dari gambar itu tahulah aku yang Alex hanya mempunyai seorang abang. Tapi aku tidak pernah melihat kelibat abangnya sepanjang aku belajar di rumah itu. Ingin jua bertanya tetapi rasanya tidak perlu. Memandangkan bukan urusan aku untuk tahu mengenai keluarga Alex.

“ Oiiii!” sergah Alex!
“ Cepatlah terangkan macam mana glasier terjadi!, berangan aja tau dia nie!” 
“ Dah giliran aku ke untuk terangkan?”
“ Iyalah Yan!, entah apa yang dia berangan !” marah Norlin.
“ Iya, iya aku terangkanlah nie”.

Aku, Alex dan Norlin semakin yakin untuk menghadapi peperiksaan STPM dengan kerja kuat kami itu. Penat tu memanglah penat. Bukan mudah untuk mengecapi manis. Itu pesan mak pada aku. Masalah aku cuma satu, setiap kali aku bersendirian aku pasti terbayangkan potret keluarga Alex. Tapi bukan wajah Alex yang aku bayangkan. Emmm… Aku sendiri tak tahu, kenapalah aku asyik teringat-ingat sahaja wajah lelaki itu ya?. Tak mungkin aku dah terkena sakit yang paling aku takuti tu . Aku kena lupakan perasaan yang datang menjenguk kamar hati gadisku ini buat sementara. Aku kena tumpukan pada peperiksaan besar yang akan aku hadapi tidak lama lagi. 

Sambil jari-jari menyelak helaian buku Ekonomi Makro yang memeningkan itu. Aku teringat pesan ayah dahulu. Kata ayah:

“ Waktu sekolah jangan terlibat dengan cinta monyet!. Nanti buku ke mana, periksa ke mana, sibuk dengan bercinta. Bila putus cinta mulalah hanyut. Kalau tengah asyik pulak, tidak ingat nak belajar. Dah lepas sekolah esok, kalau nak bercinta, bercintalah betul-betul.” tambah ayahku lagi.

Dalam waktu yang sama, aku teringat juga dengan perbualanku dengan mak tidak lama dahulu.

“ Mak, agaknya kalau di takdirkan Yan bercinta dengan lelaki bukan Islam macam mana ya mak?. Mak izinkan tak?”.
“ Gatalnya anak dara mak nie…” usik mak bila soalan itu aku tujukan pada emak waktu sedang mengemas halaman rumah.
“ Kalau dah jodohnya begitu, mak tak ada halangan. Tapi ada syaratnyalah Yan”.
“ Apa syaratnya mak? “ tanyaku ingin tahu.
“ Dia mesti masuk Islam dahulu. Belajar sembahyang. Belajar mengaji. Mana boleh nak kahwin dengan anak dara orang Islam tidak tukar agama” itu jawapan mak.
“ Ohhh gitu ya mak “.
“ Ni Tanya-tanya dah ada calon ke?”
“ Calon pilihanraya ke mak? “ Belum keluar paper lagi. Nanti mak pangkahlah calon yang mak suka tu” jawap ku selamba.
“ Budak nie! Kita tanya betul-betul dia main-main pulak!” ku dengar nada geram dari mulut mak.
“ Mana ada mak, Yan kan masih sekolah. Lepas sekolah baru Yan nak fikir semua itu”. 
“ Dahlah , mak nak ke dapur, nak masak makan malam pulak. Yan habiskan kumpul sampah-sampah nie ya. Masukkan dalam beg plastik dan letak kat depan tu. Esok senang lori sampah nak angkut”
“ Baik mak”.

Aku memang rapat dengan emak. Aku senang berkongsi cerita dengan mak. Berbanding dengan ayah. Ayah seorang yang agak tegas. Aku mempunyai tiga orang adik beradik. Aku sebagai anak yang sulung. Adik-adik ku kedua-duanya lelaki. Seorang di tingkatan empat dan yang bungsu di tingkatan satu.Keluarga aku dari golongan sederhana sahaja. Ayah seorang pegawai kerajaan dan mak seorang surirumahtangga sepenuh masa. Pendapatan ayah pun cukup-cukup makan untuk menampung kehidupan kami adik beradik. Alhamdulillah,itupun sudah cukup aku syukuri. Selagi tidak meminta-minta dengan orang lain memadailah.

Oktober tiba, peperiksaan STPM aku hadapi dengan cukup tenang.Tambahan aku merasakan aku sudah cukup berusaha. Hampir dua minggu bergelumang dengan kepayahan memerah otak mengingat semula yang telah dipelajari, akhirnya dewan peperiksaan aku tinggalkan. Peperiksaan selamat ku lalui. Kini, Aku hanya berserah kepada Allah untuk setiap apa juga keputusan yang akan di berikan padaku. Aku telah berusaha sebaik mungkin. Insya-Allah. Sepanjang penantian menunggu keputusan, aku hanya di rumah membantu ibu. Belajar masak dan sedikit jahitan. Esok-esok senang kalau kahwin boleh hidangkan suami dengan makanan yang sedap-sedap. Boleh jahitkan baju suami kalau hari raya, tidak payah beli,. Begitu kata emak. Angan-angan seorang perempuan yang aku rasa ada pada semua wanita. Ingin menjadi seorang wanita yang sesempurna mungkin untuk seorang lelaki yang akan bergelar suaminya suatu hari nanti.

Pernah juga aku menghadiri kelas-kelas masakan atas dorongan emak. Setidak-tidaknya dapat juga aku mempraktikkan kepandaian ku di majlis perkahwinan sepupuku dahulu. Pernah juga aku meminta izin dari emak untuk keluar bekerja. Tetapi itulah, menurut emak belajarlah ilmu wanita dahulu sementara ada masa. Esok kalau dah bekerja dah tak ada masa untuk itu semua.

2: Puisi- Sesekali...

Bisik suaramu
sudah sebati dengan diriku

andai diulang baca berkali kali
akan menunaskan rasa
yang lain dari biasa
lantas biar ku baca sekali sahaja
agar tidak terjerat
dengan maksud tersirat

namun sekali terlintas di mata
sudah tertangkap kilasnya
sudah menyelinap ke sanubari
mewarna dinding rasa
dengan makna makna

antara bicara terselit haruman yang melekakan
menerawang minda jauh dari kenyataan
kelopak haruman rasa
yang segar bugar
tidak layu di telan waktu
gugurnya nanti
di laman hati 
menjadi baja sepohon cinta
yang bakal merimbun memayung
kasih dan sayang
walau datangnya

tidak di undang ...

Wednesday, October 13, 2010

1- Puisi: Rindu

Rindu itu umpama angin,
Halusnya menyelinap keseluruh hati,
Menciptakan buana indah,
Menjadi angan berteman harapan,
Hingga kembang kudup kasih,
Mekar mewangi seluruh impian.

Rindu itu umpama ombak,
Datang dan pergi bertemu pantai,
Ada waktunya berdesir syahdu,
Hingga leka dibuai merdu,
Ada waktunya dilanda gelora,
Amukkannya memuncak melanggar dunia.

Rindu itu umpama bisa,
Yang harus dicari penawarnya,
Agar tidak meracun seluruh jiwa.
Namun rindu bukan derita,
Yang mengundang wabak duka,
Andai dirawat sakitnya,
Dengan doa dan keikhlasan.