Wednesday, November 3, 2010

Cerpen : Ikhlaskan Hatimu ( Part 1 )

Terpisat-pisat kelopak senja dikejutkan dek sapaan tirai malam. Lembut dirasakan sentuhannya. Senja tersenyum manis, memahami maksud tirai malam menyapanya tadi. Dengan perlahan, senja mengensot-ngensot pergi meninggalkan siang yang ditemaninya tadi. Bulan yang datang menemani malam bersama simbahan sinar cahaya cukup mempersona. Sesekali bulan di usik sang bintang kecil yang galak mengenyit mata. Bulan hanya tersenyum manis. Sang bintang kecil sempat juga mengerling, melihat kepulan awan yang perlahan-lahan mendatangi bulan nan indah. Lantas, bintang nan nakal sempat juga mencuri jamah ke pipi awan. Jamahan tanpa rela di tenung tajam oleh si awan. Sang bintang kecil nakal tersipu malu, lantaran ciuman kasihnya di tepis penuh hemah.

Mata ini memandang semua jenaka dan tingkah cekrawala dengan penuh asyik. Awan menghampiri bulan bagai berbisik , konon dirinya sering di usik. Di usik manja si bintang kecil penuh keletah. Angin, cemburu pada kemesraan bulan dan awan, lantas dengan angkuh menghalau awan dari si bulan. Bulan merajuk, lalu bersembunyi di balik awan. Kelam sebentar alam tanpa limpahan sinar cahaya bulan purnama.

Indahnya permentasan alam ciptaan tuhan. Segalanya hidup teratur tanpa secarik prasangka. Hanya sebentar rajuk tercipta, mereka kembali bergurau lagi tanpa curiga. Kalaulah mereka bisa berbicara, pasti terdengar hilai dan tawa. Hati ini, berbunga bahagia melihat tingkah mereka. Alangkan indahnya suasana.

Perlahan-lahan kelopak hati mengusap kembali nostalgia semalam. Ku pejamkan mata buat seketika. Cuba mencari ketenangan yang di ragut masa.


*****

Tanpa semena-mena aku teringatkan Alex. Iya, Alex Yong...kawan sekelasku di tingkatan enam. Seorang yang cukup tampan, berbangsa cina. Dia seorang yang cukup peramah. Tidak memilih kawan. Pendek kata, dengan semua orang dia berkawan. Alex tersenarai antara lelaki-lelaki idaman tiap wanita di sekolah. Aku dan dia memang cukup rapat. Di mana ada aku, adalah dia. Ke perpustakaan, bersukan, kelab uniform segala-galanya kami lakukan bersama. Bak kata rakan-rakan sekelas aku dengan Alex macam belangkas!. Ke hulu ke hilir bersama. Serasi. Mungkin sebab kami banyak persamaan minat aku dan Alex menjadi kawan yang cukup rapat. Keakraban yang sering disalah tafsir . Sedangkan hubungan kami lebih kepada istilah “ TEMAN TAPI MESRA “. Agama pun dah berbeza, masakan ingin bercinta. Lagipun aku masih belajar. 


Masih tebal dalam ingatan ku, sewaktu peperiksaan STPM semakin hampir. Aku, dan Alex semakin kerap melakukan ‘group study’. Kadang-kadang kami belajar di rumah kawan Alex, Norlin. Kadang-kadang di rumah aku. Tetapi yang paling kerap di rumah Alex. Memandangkan keadaan rumah Alex yang agak selesa. Mama dan papa Alex pun selalu tiada di rumah kerana menguruskan syarikat mereka. 

Kerana kekerapan itulah, aku semakin rapat dengan keluarga Alex. Mama dan papa Alex ku panggil ‘Auntie’ dan ‘Uncle’. Auntie dan uncle tidak pernah melarang kami menggunakan rumahnya sebagai lokasi pembelajaran. Mak dan ayah aku pun begitu juga. Mereka tidak keberatan memandangkan aku di temani Norlin, salah seorang kawan baik Alex. Berlainan kelas. Mak pun kenal sangat dengan Norlin. Belajar di rumah kawan-kawan bukanlah bermakna aku mengambil kesempatan untuk mengelak membuat kerja-kerja rumah.Tetapi niat ku cuma satu. Ingin belajar bersama-sama untuk menghadapi STPM. 

Masih aku ingat saat aku belajar di rumah Alex. Sering juga aku disergah oleh Alex maupun Norlin kerana sering kali hilang tumpuan. Selalu benar mata ini mencuri pandang ke potret keluarga Alex di ruang tamu. Dari gambar itu tahulah aku yang Alex hanya mempunyai seorang abang. Tapi aku tidak pernah melihat kelibat abangnya sepanjang aku belajar di rumah itu. Ingin jua bertanya tetapi rasanya tidak perlu. Memandangkan bukan urusan aku untuk tahu mengenai keluarga Alex.

“ Oiiii!” sergah Alex!
“ Cepatlah terangkan macam mana glasier terjadi!, berangan aja tau dia nie!” 
“ Dah giliran aku ke untuk terangkan?”
“ Iyalah Yan!, entah apa yang dia berangan !” marah Norlin.
“ Iya, iya aku terangkanlah nie”.

Aku, Alex dan Norlin semakin yakin untuk menghadapi peperiksaan STPM dengan kerja kuat kami itu. Penat tu memanglah penat. Bukan mudah untuk mengecapi manis. Itu pesan mak pada aku. Masalah aku cuma satu, setiap kali aku bersendirian aku pasti terbayangkan potret keluarga Alex. Tapi bukan wajah Alex yang aku bayangkan. Emmm… Aku sendiri tak tahu, kenapalah aku asyik teringat-ingat sahaja wajah lelaki itu ya?. Tak mungkin aku dah terkena sakit yang paling aku takuti tu . Aku kena lupakan perasaan yang datang menjenguk kamar hati gadisku ini buat sementara. Aku kena tumpukan pada peperiksaan besar yang akan aku hadapi tidak lama lagi. 

Sambil jari-jari menyelak helaian buku Ekonomi Makro yang memeningkan itu. Aku teringat pesan ayah dahulu. Kata ayah:

“ Waktu sekolah jangan terlibat dengan cinta monyet!. Nanti buku ke mana, periksa ke mana, sibuk dengan bercinta. Bila putus cinta mulalah hanyut. Kalau tengah asyik pulak, tidak ingat nak belajar. Dah lepas sekolah esok, kalau nak bercinta, bercintalah betul-betul.” tambah ayahku lagi.

Dalam waktu yang sama, aku teringat juga dengan perbualanku dengan mak tidak lama dahulu.

“ Mak, agaknya kalau di takdirkan Yan bercinta dengan lelaki bukan Islam macam mana ya mak?. Mak izinkan tak?”.
“ Gatalnya anak dara mak nie…” usik mak bila soalan itu aku tujukan pada emak waktu sedang mengemas halaman rumah.
“ Kalau dah jodohnya begitu, mak tak ada halangan. Tapi ada syaratnyalah Yan”.
“ Apa syaratnya mak? “ tanyaku ingin tahu.
“ Dia mesti masuk Islam dahulu. Belajar sembahyang. Belajar mengaji. Mana boleh nak kahwin dengan anak dara orang Islam tidak tukar agama” itu jawapan mak.
“ Ohhh gitu ya mak “.
“ Ni Tanya-tanya dah ada calon ke?”
“ Calon pilihanraya ke mak? “ Belum keluar paper lagi. Nanti mak pangkahlah calon yang mak suka tu” jawap ku selamba.
“ Budak nie! Kita tanya betul-betul dia main-main pulak!” ku dengar nada geram dari mulut mak.
“ Mana ada mak, Yan kan masih sekolah. Lepas sekolah baru Yan nak fikir semua itu”. 
“ Dahlah , mak nak ke dapur, nak masak makan malam pulak. Yan habiskan kumpul sampah-sampah nie ya. Masukkan dalam beg plastik dan letak kat depan tu. Esok senang lori sampah nak angkut”
“ Baik mak”.

Aku memang rapat dengan emak. Aku senang berkongsi cerita dengan mak. Berbanding dengan ayah. Ayah seorang yang agak tegas. Aku mempunyai tiga orang adik beradik. Aku sebagai anak yang sulung. Adik-adik ku kedua-duanya lelaki. Seorang di tingkatan empat dan yang bungsu di tingkatan satu.Keluarga aku dari golongan sederhana sahaja. Ayah seorang pegawai kerajaan dan mak seorang surirumahtangga sepenuh masa. Pendapatan ayah pun cukup-cukup makan untuk menampung kehidupan kami adik beradik. Alhamdulillah,itupun sudah cukup aku syukuri. Selagi tidak meminta-minta dengan orang lain memadailah.

Oktober tiba, peperiksaan STPM aku hadapi dengan cukup tenang.Tambahan aku merasakan aku sudah cukup berusaha. Hampir dua minggu bergelumang dengan kepayahan memerah otak mengingat semula yang telah dipelajari, akhirnya dewan peperiksaan aku tinggalkan. Peperiksaan selamat ku lalui. Kini, Aku hanya berserah kepada Allah untuk setiap apa juga keputusan yang akan di berikan padaku. Aku telah berusaha sebaik mungkin. Insya-Allah. Sepanjang penantian menunggu keputusan, aku hanya di rumah membantu ibu. Belajar masak dan sedikit jahitan. Esok-esok senang kalau kahwin boleh hidangkan suami dengan makanan yang sedap-sedap. Boleh jahitkan baju suami kalau hari raya, tidak payah beli,. Begitu kata emak. Angan-angan seorang perempuan yang aku rasa ada pada semua wanita. Ingin menjadi seorang wanita yang sesempurna mungkin untuk seorang lelaki yang akan bergelar suaminya suatu hari nanti.

Pernah juga aku menghadiri kelas-kelas masakan atas dorongan emak. Setidak-tidaknya dapat juga aku mempraktikkan kepandaian ku di majlis perkahwinan sepupuku dahulu. Pernah juga aku meminta izin dari emak untuk keluar bekerja. Tetapi itulah, menurut emak belajarlah ilmu wanita dahulu sementara ada masa. Esok kalau dah bekerja dah tak ada masa untuk itu semua.

No comments: